Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua
warga pendidik serta murid-murid sekolah.
Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,
Izinkan
saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru
pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak
didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang
terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan
yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.
Kepada
murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha
murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di
dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu
usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai
anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama
berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang
dipelajari di sekolah.
Saya menyeru kepada semua murid rebutlah
peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk
menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang
kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang
tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha
yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti
kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”.
Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi
orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan
merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.
Para guru dan murid-murid sekalian,
Yang
muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu
dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan
perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai
satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk
menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala
supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam
ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang
apabila di tiup angin.
Dalam alaf nano teknologi ini, semua
pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan
ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing.
Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan
pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang
sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut
memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan
murid-murid.
Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai
profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar.
Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang
rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya
adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan
oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang
datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga
kembang tak jadi”
Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi
dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak
didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman
dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak
murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk
menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan
potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi
serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Para guru dan murid sekalian,
Dalam
memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada
murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat
perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu
Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah
Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga
pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan
tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi
memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut
perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam
kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu
memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam
pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru
adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah
ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu
bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran
positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan,
tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir
dengan profesion perguruan.
Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,
YAB
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan
perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan
murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan
mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup
sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.
Kepada
murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR,
saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha
mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun
1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda,
sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang
menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta
mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan
menghadapi hari muka.
Harapan saya, kepada semua guru dan murid,
marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan
negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan
Pencapaian Diutamakan”.
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431