PERKEMBANGAN positif industri pengimejan terus dirancakkan menerusi pengenalan pelbagai fungsi dan teknologi canggih pada produk kamera digital. Semakin hari semakin banyak syarikat pengeluar kamera tampil menampilkan keunikan dan kecanggihan produk-produk mereka dengan tujuan memberi lebih pilihan dan pengalaman terbaik kepada pengguna.
Syarikat yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri berkenaan, Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nikon) baru-baru ini terus memacu kecemerlangan dengan memperkenalkan kamera digital kompak pertama di dunia dilengkapi projektor binaan dalam.
Fungsi yang ditawarkan pada model Coolpix S1000pj itu membolehkan paparan foto yang telah dirakam dapat ditonton secara beramai-ramai dan pada bila-bila masa.
Menurut Pengurus Besar Produk Pengguna Nikon, Stephen Ng, pengenalan produk tersebut menunjukkan komitmen syarikat itu yang sentiasa menawarkan produk berkualiti dan inovatif.
''Pengguna kini tidak hanya memandang kepada resolusi sesebuah kamera sebaliknya lebih mengambil kira tawaran ciri yang dapat memberi mereka keseronokan ketika menjalankan aktiviti fotografi.
''Justeru, melalui fungsi projektor pada model ini, pengguna dijamin dapat menikmati pengalaman paparan imej yang lebih mudah, selesa dan menarik bersama rakan-rakan,'' katanya ketika pelancaran model itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Melihat kepada ciri kamera tersebut, ia didatangkan bersama keupayaan rakaman 12.1 megapiksel dengan lima kali pemfokusan optik serta monitor LCD beresolusi tinggi 2.7 inci.
Aplikasi rakamannya juga dipertingkatkan melalui pilihan lima ciri penstabilan imej, pemilihan shot terbaik, sistem potret pintar dan pemilihan babak automatik.
Untuk menjalankan fungsi projektor, pengguna hanya perlu menekan butang khas dan kemudian menghalakan paparan imej atau video pada permukaan rata.
Dengan jarak pancaran dari 26 sentimeter (sm) hingga dua meter, projektor tersebut mampu memaparkan imej bersaiz antara lima hingga 40 inci dengan kualiti VGA bang memberi kepuasan tontonan.
Untuk memudahkan kawalan operasi dan navigasi projektor pula, kamera itu didatangkan bersama alat kawalan jauh serta tiang penyokong.
Dengan tawaran pilihan warna hitam dan silver, Nikon Coolpix S1000pj kini boleh diperoleh dengan harga pasaran RM1,498.
Dipetik dari Utusan
No comments:
Post a Comment