Kuantan-Seramai 8838 murid tahun 1 hingga tahun 3 di negeri ini masih lagi belum mampu membaca dan menulis dengan baik. Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, sehingga Julai tahun ini, seramai 4091 murid Tahun 1, 2786 Tahun 2 dan 1961 Tahun 3 dikesan mengalami masalah itu. Menurutnya, Jabatan Pelajaran Negri (JPN) mahukan pendidik mencari pendekatan bersesuaian untuk mengatasi masalah itu di semua sekolah.
"Barisan pentadbir dan guru perlu merangka strategi berkesan untuk membantu atasi masalah ini, selain hubungan erat antara guru dan ibu bapa perlu terus dijalin supaya usaha menjadikan murid sebagai insan celik huruf tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi berterusan pula di rumah.
Abdul Aziz berkata, di negara maju membuktikan bahawa membaca adalah kunci kepada khazanah ilmu sehingga melahirkan golongan intelektual, mempunyai daya cipta tinggi, berdaya saing dan berketerampilan. Katanya pada 2007, Unesco mencatatkan Malaysia berada pada tahap 91.9 peratus literasi berbanding Indonesia dengan peratus 92 peratus, Filipina (93.4 peratus), Thailand (94.1 peratus) dan Singapura (94.4 peratus).
Kajian ini menunjukkan Malaysia berada di belakang negara serantau dan sekiranya tiada usaha bersungguh diambil, nescaya kata-kata 'prasarana kelas pertama, tetapi 'mentaliti ketiga' dibimbangi akan menjadi realiti di negara ini.
Dipetik dari Sinar Harian
No comments:
Post a Comment